Sunday 5 February 2012

Maulidur Rasul

(Pause playlist di sebelah untuk menonton video ini)

Assalamualaikum.. Bersyukur kepada Allah, Tuhan sekalian Alam.. Selawat dan salam ke atas junjungan besar Nabi Muhammad S.A.W.. Dah lama ana tak menulis di sini.. InsyaAllah, hari ni kita akan berbicara tentang satu perayaan bagi umat Islam iaitu sambutan Maulidur Rasul ataupun sambutan Hari Lahir Nabi Muhammad S.A.W..  
Di sini timbul pelbagai persoalan.. Ada yang mengatakan bahawa ianya adalah bid'ah, haram dilaksanakan.. Ada pula yang mengatakan ianya adalah bid'ah tetapi bid'ah hasanah (bid'ah yang baik) dan harus dilaksanakan.. Ini menimbulkan 1001 persoalan bagi umat Islam yang kurang ilmu pengetahuannya.. 

Sebelum kita terus lagi, elok juga kalau kita tahu asal-usul ataupun sejarah sambutan Maulidur Rasul ni.. Sambutan ini dilakukan untuk pertama kalinya oleh Raja Irbil (wilayah Iraq) yang bernama Muzhaffaruddin Al-Kaukabri dan dilakukan pada awal kurun ke-7 Hijriyyah.. Raja Muzhaffaruddin Al-Kaukabri telah menjemput seluruh ulama' yang hidup di zaman itu untuk menyertai Baginda ..

Jadi, sebelum kita semua menilai, ada baiknya kita baca artikel di bawah.. Jom..





Imam Jalaluddin Al-Sayuti (Lihat kitab: Husnul Maqsad Fi Amal Maulid).

Beliau ditanya tentang hukum perayaan Maulid pada bulan Rabiulawal: Apakah orang yang merayakannya mendapat pahala? Beliau menjawab: Perayaan Maulid pada hakikatnya ialah mengumpulkan kebanyakkan orang untuk membaca beberapa ayat al-Quran. Kemudian menjelaskan jalan-jalan dakwah sejak mula diutuskannya Rasulullah. Acara itu diisi dengan menghidangkan makanan sebelum para hadirin kembali ke tempat masing-masing. Dengan tidak berlebihan saya katakan bahawa perayaan semacam itu tergolong dalam bidaah hasanah yang bila dilakukan akan mendapat pahala. Mereka telah mengagungkan kedudukan Nabi S.A.W. dan menyatakan kesyukuran mereka di atas kelahiran Nabi Muhammad S.A.W. sebagai penghulu umat.

Syeikh al-Islam Ibnu Taimiyah (Lihat kitab: Iqtidha as-Shirath al-Mustaqin).

Berkata Syeikh Islam Ibnu Taimiyah: Memuliakan Maulid dan merayakannya setiap tahun seperti yang dilakukan oleh sesetengah orang akan mendapat ganjaran pahala daripada Allah Taala kerana niatnya baik dan memuliakan Rasulullah S.A.W.

Terdapat ramai lagi ulama yang turut membolehkan sambutan Maulidur Rasul ini antaranya seperti: Imam Ibnu Hajar al-Asqalani, Al-Allamah Sayyid Ahmad Zaini Dahlan, Syeikh Muhammad al-Khazraji, al-Muhaddith Syeikh Dr. Al-Sayyid Muhammad bin al-Sayyid Alawi al-Maliki, Syeikh Atiyah Saqar, Syeikh Prof. Dr. Yusof al-Qaradhawi, Syeikh Prof. Dr. Ali Jumaah dan lain-lain lagi.

PERINGATAN PENTING
Kaedah Fiqhiyah menyatakan bermaksud:

Tidak boleh dibantah sesuatu hukum yang berlaku khilaf di kalangan fuqaha. Hanya yang boleh dibantah ialah perkara mungkar yang disepakati oleh para ulama di atas pengharamannya.
(Sila lihat kitab al-Asybah Wa al-Nazair Fi Qawaid Wa Furu Fiqh al-Syafiiyah karangan Imam Jalaluddin Al-Sayuti).

Maksud kaedah ini (di atas) secara lebih jelas ialah kita tidak boleh menafikan, membantah, atau menuduh bidaah lagi sesat dan sebagainya kepada orang lain yang memilih salah satu pendapat dalam perkara agama yang berlaku perselisihan pendapat ulama padanya. Malangnya jika dilihat fenomena hari terdapat segelintir golongan yang menceburi lapangan dakwah Islamiah menyanggah kaedah ini. Mereka dengan sewenang-wenangnya mengeluarkan perkataan yang kesat kepada orang yang berpegang dengan perkara khilafiyyah yang tidak sealiran dengan mereka dengan mengkafirkan, memfasiqkan dan membidaahkan golongan tersebut. Malah mereka hanya menyeru orang lain supaya memahami dan menerima pendapat mereka sahaja sedangkan mereka tidak melihat terlebih dahulu keadaan tempat dan suasana pada ketika itu. Inilah antara masalah terbesar yang menimbulkan banyak kesan negatif kepada umat Islam semenjak sekian lama.

PENUTUP

Suka saya mengambil kata-kata al-Muhaddith Syeikh Dr. Al-Sayyid Muhammad bin al-Sayyid Alawi al-Maliki seperti berikut:

Bahawa sesiapa yang hendak menolak perayaan ini atau perhimpunan mengingati Maulidur Rasul atau merayakan kelahirannya atau kehidupannya pada musim tertentu dengan alasan para salaf tidak pernah melakukannya maka alasan itu bukanlah satu dalil yang boleh diterima bahkan ia tidak berdalil langsung.

Di sini saya ingin menyeru kepada semua umat Islam agar sentiasa mengingati serta mendalami sirah baginda S.A.W. dan mengambil pengajaran daripadanya. Sayangilah dan hormatilah baginda S.A.W...


Sumber:https://www.facebook.com/Ustaz.Azhar.Idrus.Original/posts/237986056283576
                                                                                                                                                                   

Tetapi kenapa kita perlu mengadakan sambutan Maulidur Rasul..? Ianya kerana kita semakin hari semakin melupakan Nabi S.A.W.. Itulah hakikatnya.. Disebabkan itulah para alim ulama' terdahulu mengambil inisiatif untuk mengadakan sambutan Maulidur Rasul.. Supaya kita yang memang sudah jauh dari Nabi S.A.W ni mengenali Baginda walaupun tidak pernah bertemu dengan Baginda.. 

Rasulullah S.A.W bersabda: "Sesungguhnya aku merindui saudara-saudaraku.. Maka para shabat bertanya: Tidakkah kami ini saudara-saudaramu, ya Rasulullah..? Jawab Baginda: Kamu sahabat-sahabatku, saudara-saudaraku ialah orang yang hidup setelah kewafatanku tetapi dia merindui untuk bertemu denganku".. Moga-moga kita tergolong daripada golongan yang disebutkan Nabi S.A.W.. 

Jadi, selepas ni, tak perlu la kita bergaduh sesama sendiri atas benda yang khilafiyyah ni.. Ia hanya akan memecahbelahkan umat sahaja.. Maka terpulanglah kepada diri masing-masing untuk melakukannya ataupun tidak.. Akhir kalam, "seorang lelaki akan bersama dengan siapa dia kasihi".. Jadi, tingkatkan kecintaan kita kepada Baginda.. Moga-moga kita dapat bersama Nabi S.A.W di Akhirat kelak .. Wallahua'lam..

No comments:

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...