Friday, 8 July 2011

Biarkan cintamu Berkata tidak

Assalamualaikum...Allahuakbar...Dah lama ana tak update blog ni...sibuk sikit...Rindu kat sahabat-sahabat semua....Semoga hari-hari sahabat semua dirahmati Allah..Sedar tak sedar,hita dah masuk bulan Sya'ban...Tak sampai sebulan,Ramadhan pulak yang datang bertandang..Dalam bulan Sya'ban,Nabi Muhammad ada mengajarkan kepada kita satu doa..Allahumma bariklana fi Rajabi wa Sya'ban,wa ballighna Ramadhan..Maksudnya,'Ya Allah,Kau berkatilah kami dala, bulan Rejab dan Sya'ban dan sampaikanlah kami kepada bulan Ramadhan...

Hari ni ana nak bawak satu cerita..Haa...Cerita nya pasal Cinta...Haisyy...Tak Habis-habis pasal cinta...Ya..Ia takkan habis...Ana tak bermaksud untuk membuat sapa-sapa terasa...Tapi kalau terasa,tepuk dada,tanya Iman...





Kerap diungkapkan, cinta itu buta?Apakah benar cinta itu buta? Apakah cinta orang beriman juga buta? Kalau buta yang dimaksudkan itu tidak mampu lagi melihat mana yang hak, yang mana batil, tentulah cinta orang yang beriman tidak buta.
Tidak! Cinta yang suci tidak buta. Orang beriman tetap celik walaupun sedang dilamun bercinta. Mereka masih tahu dan mampu melihat serta menilai yang mana baik, yang mana buruk, yang mana halal dan yang mana haram sewaktu bercinta.
Namun sekiranya buta yang dimaksudkan tidak nampak lagi segala kesusahan demi mendekatkan diri kepada yang dicintainya (Allah)... ya, cinta orang beriman memang buta. Orang yang beriman tidak nampak lagi ranjau duri untuk mendekatkan diri kepada Ilahi.
Pernah Sayidina Abu Bakar r.a. pernah berkata kepada anaknya, "jika aku menemui mu dalam perang Badar dahulu, aku sedikit pun tidak teragak-agak untuk membunuh mu!"
Mus'ab bin Umair pula pernah berkata kepada ibunya, "jika ibu punya 100 nyawa dan nyawa itu keluar satu persatu, saya tidak akan meninggalkan agama yang dibawa oleh Nabi Muhammad."
Ya, cinta orang beriman itu buta. Tetapi bukan buta melulu. Yang buta melulu hanyalah cinta orang yang lemah iman. Cinta itu telah dikotori oleh kehendak nafsu dan bujukan syaitan. Apa sahaja yang disuruh oleh nafsu dan dihasut oleh syaitan akan diikuti. Cinta buta oleh orang yang buta mata hatinya sanggup mengorbankan maruah, harga diri malah membunuh demi cintanya. Memang benar kata pepatah Arab, seseorang itu menjadi hamba kepada "apa" atau "siapa" yang dicintainya.
 Kalau sudah cinta, kita jadi "buta" terhadap penderitaan, kesusahan dan segala keperitan demi menyukakan hati orang yang kita cintai. Oleh itu bertuah sekali jika orang atau apa yang kita cintai itu adalah orang yang baik atau sesuatu yang baik, maka kita akan menjadi hamba kepada orang yang baik dan kebaikan.
Sebaliknya, jika yang kita cintai adalah kejahatan atau orang yang jahat... kita akan diperhambai sentiasa kepada kejahatan. Firaun mati lemas kerana diperhamba kuasa. Manakala Qarun ditelan bumi akibat diperhamba harta. Dan berapa ramai negarawan, hartawan dan bangsawan yang kecundang kerana cintakan wanita?
Cinta Orang Mukmin
Orang mukmin itu sangat cinta kepada Allah. Firman Allah dalam surah Al-Baqarah, ayat ke-165 : "Orang mukmin itu sangat bersangatan cintanya kepada Allah."
Justeru, cinta orang mukmin itu "buta" kepada sebarang kesusahan demi menunaikan perintah Allah. Orang mukmin rela mengorbankan segala kesukaan atau kesenangan dirinya apabila semua itu melanggar perintah Allah. Tidak ada istilah tidak apabila berdepan dengan perintah Allah. Mereka akan berpegang kepada prinsip "kami dengar, kami taat" setiap kali mereka mendengar ayat-ayat cinta (Al-Quran) yang datang daripada Allah.
Apabila berdepan dengan cinta Allah, segala cinta yang lain akan menjadi kecil dan terpinggir. Bayangkan kecintaan Rasulullah saw terhadap bapa saudaranya Abu Talib – orang yang membela dan melindunginya semasa susah dan senang. Bukan sahaja tubuh badan Rasulullah saw dipertahankan oleh Abu Talib tetapi beliau juga telah memberi kasih-sayang, perhatian, simpati dan empati yang tidak berbelah bagi kepada Nabi Muhammad saw.
Ya, Nabi Muhammad s.a.w dan Abu Talib saling cinta mencintai. Bayangkan hingga ke saat-saat kematian Abu Talib, nabi Muhammad saw terus berdakwah, merayu dan membujuk agar bapa saudaranya itu beriman. Tetapi Subhanallah! Allah Maha Tahu dan Maha Berkuasa terhadap petunjuk dan hati para hamba-Nya. Hidayah milik Allah. Dan hidayah itu tidak diberikan-Nya kepada Abu Talib atas sebab-sebab yang hanya Dia yang mengetahuinya. Lalu matilah Abu Talib dalam keadaan tidak beriman...
Betapa sedihnya hati Rasulullah saw tidak dapat digambarkan lagi oleh kata-kata. Dan pada hari kematian Abu Talib, bersimpuhlah baginda dalam doa demi keselamatan ayah saudaranya yang telah pergi. Namun apa jawapan Allah? Allah menegur dan melarang baginda daripada berdoa untuk keselamatan Abu Talib. Kerana apa? Kerana Abu Talib tidak beriman. Walaupun Allah Maha mengetahui betapa cintanya Rasulullah saw... tetapi Allah mendidik hati seorang Nabi agar berkata tidak walaupun ketika hati terlalu cinta!
Begitulah jua jalur cinta yang luar biasa oleh insan-insan luar biasa sebelum diutuskan Nabi Muhammad saw. Bagaimana Nabi Nuh as, dididik oleh Allah agar berkata "tidak" ketika teringat dan merasa kasihan kepada anak dan isterinya yang derhaka. Menyusul kemudiannya Nabi Luth as yang diperintahkan meninggalkan keluarga yang tercinta tanpa boleh menoleh lagi ke belakang.
Menyusul lagi kemudiannya Nabi Ibrahim as yang pada mulanya rela berpisah dengan bapanya yang menyembah berhala, dan selepas itu rela pula menyembelih anaknya Nabi Ismail demi cintanya kepada Allah. Nabi Nuh, Luth, Ibrahim dan akhirnya Nabi Muhammad s.a.w telah berkata "tidak" kepada cinta-cinta yang lain kerana cinta mereka pada Allah. Lalu di manakah letaknya cinta kita?
"Menghumban" Anak Ke Neraka

Jika kita undur selangkah ke belakang dalam pengamalan syariat, anak-anak akan undur sepuluh langkah ke belakang. Sedikit ibu-bapa tergelincir, terperosok anak ke dalam lubang kemungkaran. Sebab itu sering berlaku, apabila ibu tidak lengkap dalam menutup aurat anak-anak perempuannya akan lebih galak mendedahkan aurat. Lambat si bapa dalam mengerjakan solat, anak-anak akan berani pula meninggalkan solat. Sedikit ibu-bapa terpesona dengan dunia, anak-anak akan terleka dalam mencintainya!
Betapa ramai ibu-bapa yang hakikatnya "menghumban" anak mereka ke neraka kerana dibiarkan melakukan kejahatan tanpa teguran. Ada yang terlalu cintakan anak, hingga dibiarkan anak-anak tidak solat Subuh, konon katanya kasihan nanti anaknya mengantuk kerana kurang tidur. Ada pula anak-anak yang sudah besar panjang tetapi masih tidak dilatih berpuasa kerana tidak sampai hati anak-anak melihat anak-anak kelaparan dan kehausan. Apabila anak-anak pulang lewat malam, ada ibu-bapa yang begitu "sporting" berkata, "Biarlah... muda hanya sekali, biarkan mereka bersuka-suka, tumpang masih muda!"
Susah benarkah untuk melihat anak-anak, isteri atau suami bersusah-susah kerana Allah? Padahal kesusahan yang sedikit dan sementara di dunia ini adalah suatu yang lumrah demi mendapat kesenangan yang melimpah dan kekal abadi di akhirat kelak?
Jangan kita dibutakan oleh cinta nafsu kerana cinta nafsu itu bersifat melulu. Cintailah sesuatu kerana Allah, insya-Allah, cinta itu akan sentiasa celik untuk melihat kebenaran. Rela dan tegalah berkata tidak demi cinta. Cintalah Allah dan selalu menjaga hukum-hakam-Nya. Bila cinta kita kerana yang maha Baqa (kekal), maka itulah petanda cinta kita sesama manusia akan kekal.
Marah biar kerana Allah. Justeru kemarahan kerana Allah itulah yang akan menyuburkan rasa cinta kita. Bila hak Allah diabaikan, bila hukum-hakam-Nya dipinggirkan, katakan tidak... cegahlah kemungkaran itu dengan kuasa dan dengan kata-kata. Biarkan cinta mu berkata tidak! Insya-Allah cinta itu akan kekal sampai bila-bila...


1 comment:

Anonymous said...

astaghfirullahalazim....

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...