Hari ni ana nak bawak satu cerita..Haa...Cerita nya pasal Cinta...Haisyy...Tak Habis-habis pasal cinta...Ya..Ia takkan habis...Ana tak bermaksud untuk membuat sapa-sapa terasa...Tapi kalau terasa,tepuk dada,tanya Iman...
Kerap diungkapkan, cinta itu buta?Apakah
benar cinta itu buta? Apakah cinta orang beriman juga buta? Kalau buta yang
dimaksudkan itu tidak mampu lagi melihat mana yang hak, yang mana batil,
tentulah cinta orang yang beriman tidak buta.
Tidak!
Cinta yang suci tidak buta. Orang beriman tetap celik walaupun sedang dilamun
bercinta. Mereka masih tahu dan mampu melihat serta menilai yang mana baik,
yang mana buruk, yang mana halal dan yang mana haram sewaktu bercinta.
Namun sekiranya buta yang dimaksudkan
tidak nampak lagi segala kesusahan demi mendekatkan diri kepada yang
dicintainya (Allah)... ya, cinta orang beriman memang buta. Orang yang beriman
tidak nampak lagi ranjau duri untuk mendekatkan diri kepada Ilahi.
Pernah Sayidina Abu Bakar r.a. pernah
berkata kepada anaknya, "jika aku menemui mu dalam perang Badar dahulu,
aku sedikit pun tidak teragak-agak untuk membunuh mu!"
Mus'ab bin Umair pula pernah berkata
kepada ibunya, "jika ibu punya 100 nyawa dan nyawa itu keluar satu
persatu, saya tidak akan meninggalkan agama yang dibawa oleh Nabi
Muhammad."
Ya,
cinta orang beriman itu buta. Tetapi bukan buta melulu. Yang buta melulu
hanyalah cinta orang yang lemah iman. Cinta itu telah dikotori oleh kehendak
nafsu dan bujukan syaitan. Apa sahaja yang disuruh oleh nafsu dan dihasut oleh
syaitan akan diikuti. Cinta buta oleh orang yang buta mata hatinya sanggup
mengorbankan maruah, harga diri malah membunuh demi cintanya. Memang benar kata
pepatah Arab, seseorang itu menjadi hamba kepada "apa" atau
"siapa" yang dicintainya.
Sebaliknya,
jika yang kita cintai adalah kejahatan atau orang yang jahat... kita akan
diperhambai sentiasa kepada kejahatan. Firaun mati lemas kerana diperhamba
kuasa. Manakala Qarun ditelan bumi akibat diperhamba harta. Dan berapa ramai
negarawan, hartawan dan bangsawan yang kecundang kerana cintakan wanita?
Cinta Orang Mukmin
Orang mukmin itu sangat cinta kepada
Allah. Firman Allah dalam surah Al-Baqarah, ayat ke-165 : "Orang mukmin
itu sangat bersangatan cintanya kepada Allah."
Justeru, cinta orang mukmin itu
"buta" kepada sebarang kesusahan demi menunaikan perintah Allah.
Orang mukmin rela mengorbankan segala kesukaan atau kesenangan dirinya apabila
semua itu melanggar perintah Allah. Tidak ada istilah tidak apabila berdepan
dengan perintah Allah. Mereka akan berpegang kepada prinsip "kami dengar,
kami taat" setiap kali mereka mendengar ayat-ayat cinta (Al-Quran) yang
datang daripada Allah.
Apabila berdepan dengan cinta Allah,
segala cinta yang lain akan menjadi kecil dan terpinggir. Bayangkan kecintaan
Rasulullah saw terhadap bapa saudaranya Abu Talib – orang yang membela dan
melindunginya semasa susah dan senang. Bukan sahaja tubuh badan Rasulullah saw
dipertahankan oleh Abu Talib tetapi beliau juga telah memberi kasih-sayang,
perhatian, simpati dan empati yang tidak berbelah bagi kepada Nabi Muhammad
saw.
Ya, Nabi Muhammad s.a.w dan Abu Talib
saling cinta mencintai. Bayangkan hingga ke saat-saat kematian Abu Talib, nabi
Muhammad saw terus berdakwah, merayu dan membujuk agar bapa saudaranya itu
beriman. Tetapi Subhanallah! Allah Maha Tahu dan Maha Berkuasa terhadap
petunjuk dan hati para hamba-Nya. Hidayah milik Allah. Dan hidayah itu tidak
diberikan-Nya kepada Abu Talib atas sebab-sebab yang hanya Dia yang
mengetahuinya. Lalu matilah Abu Talib dalam keadaan tidak beriman...
Betapa sedihnya hati Rasulullah saw tidak
dapat digambarkan lagi oleh kata-kata. Dan pada hari kematian Abu Talib,
bersimpuhlah baginda dalam doa demi keselamatan ayah saudaranya yang telah
pergi. Namun apa jawapan Allah? Allah menegur dan melarang baginda daripada
berdoa untuk keselamatan Abu Talib. Kerana apa? Kerana Abu Talib tidak beriman.
Walaupun Allah Maha mengetahui betapa cintanya Rasulullah saw... tetapi Allah mendidik hati seorang Nabi agar
berkata tidak walaupun ketika hati terlalu cinta!
Begitulah jua jalur cinta yang luar biasa
oleh insan-insan luar biasa sebelum diutuskan Nabi Muhammad saw. Bagaimana Nabi
Nuh as, dididik oleh Allah agar berkata "tidak" ketika teringat dan
merasa kasihan kepada anak dan isterinya yang derhaka. Menyusul kemudiannya
Nabi Luth as yang diperintahkan meninggalkan keluarga yang tercinta tanpa boleh
menoleh lagi ke belakang.
Menyusul lagi kemudiannya Nabi Ibrahim as
yang pada mulanya rela berpisah dengan bapanya yang menyembah berhala, dan
selepas itu rela pula menyembelih anaknya Nabi Ismail demi cintanya kepada
Allah. Nabi Nuh, Luth, Ibrahim dan akhirnya Nabi Muhammad s.a.w telah berkata
"tidak" kepada cinta-cinta yang lain kerana cinta mereka pada Allah.
Lalu di manakah letaknya cinta kita?
"Menghumban" Anak Ke Neraka
Jika kita undur selangkah ke belakang dalam pengamalan syariat, anak-anak akan undur sepuluh langkah ke belakang. Sedikit ibu-bapa tergelincir, terperosok anak ke dalam lubang kemungkaran. Sebab itu sering berlaku, apabila ibu tidak lengkap dalam menutup aurat anak-anak perempuannya akan lebih galak mendedahkan aurat. Lambat si bapa dalam mengerjakan solat, anak-anak akan berani pula meninggalkan solat. Sedikit ibu-bapa terpesona dengan dunia, anak-anak akan terleka dalam mencintainya!
Jika kita undur selangkah ke belakang dalam pengamalan syariat, anak-anak akan undur sepuluh langkah ke belakang. Sedikit ibu-bapa tergelincir, terperosok anak ke dalam lubang kemungkaran. Sebab itu sering berlaku, apabila ibu tidak lengkap dalam menutup aurat anak-anak perempuannya akan lebih galak mendedahkan aurat. Lambat si bapa dalam mengerjakan solat, anak-anak akan berani pula meninggalkan solat. Sedikit ibu-bapa terpesona dengan dunia, anak-anak akan terleka dalam mencintainya!
Betapa ramai ibu-bapa yang hakikatnya
"menghumban" anak mereka ke neraka kerana dibiarkan melakukan
kejahatan tanpa teguran. Ada
yang terlalu cintakan anak, hingga dibiarkan anak-anak tidak solat Subuh, konon
katanya kasihan nanti anaknya mengantuk kerana kurang tidur. Ada pula anak-anak yang sudah besar panjang
tetapi masih tidak dilatih berpuasa kerana tidak sampai hati anak-anak melihat
anak-anak kelaparan dan kehausan. Apabila anak-anak pulang lewat malam, ada
ibu-bapa yang begitu "sporting" berkata, "Biarlah... muda hanya
sekali, biarkan mereka bersuka-suka, tumpang masih muda!"
Jangan kita dibutakan oleh cinta nafsu
kerana cinta nafsu itu bersifat melulu. Cintailah
sesuatu kerana Allah, insya-Allah, cinta itu akan sentiasa celik untuk melihat
kebenaran. Rela dan tegalah berkata tidak demi cinta. Cintalah Allah dan selalu
menjaga hukum-hakam-Nya. Bila cinta kita kerana yang maha Baqa (kekal), maka
itulah petanda cinta kita sesama manusia akan kekal.
Marah biar kerana Allah. Justeru kemarahan
kerana Allah itulah yang akan menyuburkan rasa cinta kita. Bila hak Allah
diabaikan, bila hukum-hakam-Nya dipinggirkan, katakan tidak... cegahlah
kemungkaran itu dengan kuasa dan dengan kata-kata. Biarkan cinta mu berkata
tidak! Insya-Allah cinta itu akan kekal sampai bila-bila...
1 comment:
astaghfirullahalazim....
Post a Comment